Bermodalkan pinjaman Skim Kredit Mikro daripada Bank dan modal sendiri sebanyak RM25,000.00, Puyumas Farmbest mula mengorak langkah mengusaha serta menjalankan pelbagai penyelidikan dan kajian secara teori dan praktikal bagi melaksanakan projek ternakan puyuh pendaging yang mula beroperasi pada tarikh 23 November 2003.
Projek yang diasaskan secara peringkat awal di Durian Tunggal selama ini merupakan “Projek Penyelidikan Serta Penternakan Komersial “ yang bertujuan meningkatkan lagi pengurusan produktiviti secara komprehensif, menaikkan taraf operasi perladangan bagi bangsal bertutup dan berorientasikan formula perindukan dan pembesaran secara berkala dan bersistematik, pengurusan jadual standard ladang operasi berkala, serta penggunaan pelbagai teknologi pembungkusan dan perlabelan yang komersial bagi memasarkan produk secara global .
Dengan berbekalkan pengalaman selama 5 tahun di dalam penyelidikan research and development (R&D) serta pasaran yang sedia ada maka kami menukar status syarikat kami dari Puyumas FarmBest Enterprise kepada Puyumas Farmbest Sdn Bhd dengan no pendaftaran (8005000 W) pada 24 Disember 2007. Lokasi perniagaan sementara adalah bertempat di alamat Lot 684 & 688, Batu 9 1/2 , Kg. Bukit Balai 76100 Durian Tunggal Melaka. Kini Puyumas Farmbest Sdn Bhd merancang untuk melaksanakan ladang baru seluas 5 ekar yang mampu menampung pengeluaran 192,000 ekor sebulan dan pembiakan puyuh baka sebanyak 17,000 ekor.
Pada peringkat awalan, projek kajian penyelidikan yang di namakan sebagai “Projek Teroka Puyuh Pendaging Secara Komersial” telah bermula dengan kuantiti sebanyak 1200 ekor sepusingan bagi tempoh sebulan. Pengkhususan telah di kategorikan kepada pengurusan penternakan perindukan, pengurusan penternakan pembesaran, dan pemprosesan secara manual.
Justeru itu Puyumas Farmbest telah melakukan pelbagai kajian dalam penyelidikan yang dijalankan secara terperinci dan melakukan pelbagai percubaan demi percubaan semasa menjalankan modul eksperimen “standard performance” dan telah berjaya mencipta 3 modul standard yang di hasilkan dari kajian R&D yang dinamakan sebagai modul standard “Puyumas FarmBest Standard Operation Procedure” kemudian di ikuti “Puyumas Hachtery Standard Operation Procedure”, dan “Puyumas Production Standard Operation Procedure”.
Dalam tinjauan dan pemerhatian mengenai pasaran yang sedia ada, permintaan puyuh pendaging dijangka mula melebihi penawaran sekiranya penghasilan produk itu dapat dihasilkan secara berkualiti dan bersaiz besar iaitu mencapai gred A yang mengambil masa selama 27 hari dengan berat bersih purata mencapai 150-155 gram/ekor. Disebabkan kos perbelanjaan operasi syarikat sangat minima maka harga yang ditawarkan adalah amat murah dan kompetetif dari harga pasaran yang sedia ada dan sekaligus dapat membuka peluang pasaran yang lebih meluas.
Puyuh yang diternak secara komersial di ladang ternakan adalah dari jenis baka IKTA yang mana ia merupakan baka campuran tempatan dan Perancis yang lebih besar daripada baka tempatan supaya proses penyembelihan dapat dilakukan seawal umur 31 hari (merujuk kepada Puyumas FarmBest Standard Performance) dengan berat bersih yang dapat memenuhi kehendak pasaran.
Berdasarkan sumber dari jabatan haiwan, seekor puyuh IKTA mampu membesar dengan pantas iaitu seberat 220 gram pada usia 28 hari yang mana berat bersih adalah 160 gram/ekor. Rekod menunjukkan ia merupakan rekod puyuh bagi gred A untuk kategori puyuh di pasaran Malaysia. Berbanding dengan keputusan modul eksperimen yang telah dijalankan selama ini di ladang ternakan kami iaitu didalam jangkamasa 30 hari berat seekor puyuh hidup yang didapati adalah seberat 230 gram/ekor dengan berat bersih 170.175 gram/ekor.
Selain penyelidikan dari segi pemakanan yang berkala, sukatan pembahagian vitamin, glukosa dan antistress dari peringkat perindukan sehingga pembesaran juga di ambil kira kerana ia menjamin salah satu kaedah tumbesaran sekata dalam jangkamasa yang dikehendaki. Termasuk juga pengubahsuaian keluasan untuk keselesaan pergerakan anak puyuh dan puyuh dewasa yang dilakukan dari masa ke semasa untuk memastikan satu standard terbaik dapat dihasilkan. Selain daripada itu, satu standard ketetapan suhu yang selesa bagi puyuh pendaging ini telah dapat dikategorikan kepada 2 peringkat yang mana mampu menjimatkan banyak ruang dan juga bekalan gas yang digunakan. |